UPDATE 14 JULAI 2025 - PENGUMUMAN RASMI MQSS PERINGKAT KEBANGSAAN 2025
“Dan orang-orang yang bersungguh-sungguh mencari keredhaan Kami, pasti Kami akan tunjukkan jalan-jalan Kami kepada mereka.” (Al-Ankabut: 69)
Dengan linangan air mata syukur dan hati yang penuh rasa terharu, saya ingin mengumumkan dan merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada anakanda kita, Fauzul Naim bin Burhanudin, salah seorang anak dari anak-anak keluarga kita yang telah mewakili negeri Pahang dan dinobatkan sebagai Naib Johan Majlis Al Quran Sekolah-Sekolah(MQSS) Peringkat Kebangsaan 2025.
Hari ini, bukan hanya Pahang yang bangga…
Bukan hanya kami sebagai guru dan keluarga yang tersentuh…
Tapi langit juga menjadi saksi betapa seorang anak muda telah melantunkan Kalamullah dengan penuh adab, penghayatan, dan cinta.
Anakda Fauzul Naim bukan hanya membawa suara,
Tapi membawa ruh dan tarbiah keluarga Huffaz yang selama ini kami tanam dengan sabar dalam usrah, dalam kelas, dalam pelukan ukhuwah dan doa yang tak pernah putus.
Anak muda ini telah berdiri di pentas kebangsaan bukan untuk mengejar gelaran,
Tetapi untuk memuliakan Kalam Allah,
Dengan suara yang insyaAllah akan terus bergema hingga ke Arasy.
Wahai Anakda Naim, ketahuilah…
Kamu sedang membuka jalan bukan hanya untuk dirimu,
Tetapi juga untuk anak-anak Huffaz lain yang sedang melihatmu dan berbisik dalam hati,
“Kalau dia boleh… aku juga pasti boleh, dengan izin Allah.”
Sebagai pengarah, sebagai ayahanda dalam keluarga Huffaz ini…
Saya sebak menulis ini.
Kerana apa yang kita tanam dengan cinta dan susah payah, kini mula berbunga walau dia tidak bermula dari keluarga huffaz kita pada awalnya tapi kedatangannya dalam Keluarga Huffaz ini tetap menyuntik semangat ukhuwah fillah kita semua.
Dan kami tahu ini baru permulaan.
Langkah perjuangan ini masih panjang,
Dan kami akan terus bersamamu, mendoakanmu.
Tahniah anakda Fauzul Naim. Tahniah, keluarga Huffaz.
Ini kemenangan kita semua walau tidak bermula dari kita tapi kemenangan ini sebuah perjuangan sunyi yang disulami Al Quran.
Semoga kuatkan tekad dan kuatkan azam untuk buat yang lebih baik lagi di masa akan datang.
Faidza 'azamta fatawakkal 'alallah. Innallaha yuhibbul mutawakkilin.
"Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada ALLAH. Sesungguhnya ALLAH mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada-Nya."
(Surah Ali 'imran: Ayat 159)
اللهم اجعلنا من أهل القرآن الذين هم أهلك وخاصتك.
Allahumma Aamiin.
Daripada,
Penasihat & Pengarah Urusan
Usratul Huffaz Harmoni Group